" Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan "

Tuesday, 13 March 2012

ENTRI 7: Kesantunan Bahasa dalam Kalangan Remaja

Remaja kini memandang enteng terhadap kepentingan bahasa melayu. Mereka lebih cenderung untuk menggunakan perkataan yang kurang sopan,  yang lebih tepat lagi bahasa kasar dalam perbualan seharian. sebelum mengulas lebih lanjut berkaitan kesantunan bahasa dalam kalangan remaja, mari kita lihat definisi bahasa dalam konteks kamus dewan. Menurut kamus dewan, bahasa merupakan sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia  di antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya. manakala bahasa kurang sopan atau bahasa kasar pula ialah bahasa yang digunakan untuk percakapan atau tulisan yang menyakitkan hati orang lain apabila mendengar atau membacanya.

Berikut merupakan contoh ayat yang biasa digunakan oleh remaja :

“weiii.. apalah korang ni.. Aku dah tunggu korang lama ‘giler’..atuk aku jalan pun lagi laju daripada korang lah. Ingat mak bapak korang bayar aku untuk tunggu korang ke?”

kemungkinan remaja sendiri kadangkala tidak meneliti bahasa yang mereka gunakan dalam percakapan seharian. Remaja bertutur sedemikian rupa dengan sengaja bagi menggambarkan identiti atau penampilan diri remaja. Namun demikian, remaja harus sedar bahawa keperibadian diri mereka tergambar melalui cara bagaimana mereka berkomunikasi dengan orang lain.

Bersopan santun dalam berbicara dalam kalangan remaja merupakan aspek yang menarik untuk dikaji dari pelbagai perspektif. Kesantunan bahasa ialah tatacara atau peraturan yang wujud dalam berbahasa dan dapat dilihat dalam interaksi antara dua atau lebih pihak yang berkomunikasi. Bahasa bukan setakat alat untuk menyampaikan maklumat semata-mata, tetapi turut berperanan dalam menyampaikan perasaan penuturnya. Melalui bahasa, kita dapat menyembunyikan dan mengungkapkan pemikiran kita. Jadi, kepada para remaja, jagalah percakapan dan gunalah bahasa yang sopan didengar supaya orang sekeliling memandang tinggi terhadap diri kita.

No comments:

Post a Comment