" Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa "
Pantun di atas menggambarkan bahawa pentingnya penggunaan bahasa bagi
menggambarkan budi seseorang. Penggunaan bahasa yang betul oleh si
pemakainya menggambarkan si pemakai mempunyai budi pekerti yang tinggi.
Kesantunan bahasa adalah alat untuk menunjukkan kehalusan budi bahasa
dan peradaban. Selain itu penggunaannya adalah untuk menjaga perasaan
orang lain.Tatabahasa atau tatacara berbahasa harus sesuai dengan norma-norma
budaya sesuatu masyarakat yang menggunakan bahasa. Kesantunan bahasa
sesuatu masyarakat sering kali dipengaruhi oleh norma-norma budaya
masyarakat tersebut. Bahasa yang baik menunjukkan budaya yang sihat
sesuatu masyaraka.
Akhir-akhir ini semakin banyak orang yang mempunyai bahasa tetapi
tidak berbahasa yakni tiada kesantunan bahasa, baik orang tua, baik
muda, baik orang bawahan mahupun atasan. Hal ini berlaku di
tempat-tempat kerja seperti di kilang, di firma swasta, di
pejabat-pejabat awam dan juga turut berlaku di rumah, di tempat
membeli-belah dan sekolah. Masalah kurangnya aspek kesantunan berbahasa ini sering terjadi pada
pihak-pihak yang berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan. Tiada lagi kesantunan berbahasa ketika tetamu atau pelanggan
yang hadir meminta bantuan atau minta perkhidmatan pada pekerja yang
berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan, dan jabatan-jabatan yang
bertanggungjawab dalam penguatkuasaan, seperti polis dan imigresen.
Bahkan cara pertuturan mereka pula amat atau sedikit kasar serta tiada
senyuman yang terukir di wajah mereka.
Kurangnya aspek kesantunan berbahasa dalam suatu situasi kemungkinan
disebabkan oleh gangguan emosi, mungkin sedang marah atau sedang ada
masalah yang menimpa si penutur maka terkeluarlah kata-kata yang tidak
sopan atau kata yang agak kasar nadanya. Hal ini boleh jadi disengajakan
ketika menuturkan kata-kata demikian untuk melepaskan perasaan marah
atau kekusutan fikiran. Oleh itu bahasa yang sopan perlu ditekankan ketika berkomunikasi kerana
kesantunan bahasa adalah alat untuk menunjukkan kehalusan budi bahasa
dan peradaban, selain itu penggunaannya adalah untuk menjaga perasaan
orang lain. Seperti yang kita tahu bahawa masyarakat Melayu sememangnya
terkenal dengan budi pekerti dan kesantunan bahasa yang mulia. Oleh itu,
kita harus mempertahankannya.
No comments:
Post a Comment