" Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan "

Monday 30 April 2012

ENTRI 36: Perancangan Korpus Bahasa Melayu

Minggu ini merupakan minggu terakhir saya menulis blog ini,, tumpuan perbincangan pada hari ini ialah tentang perancangan korpus atau sistem bahasa Melayu. Perancangan korpus bahasa dikenal juga sebagai proses "pembinaan bahasa". Pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa moden untuk mengisi keperluan pembangunan negara telah dilakukan secara terancang apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956, mula-mula sebagai jabatan kerajaan dan kemudian dengan lulusnya Akta DBP 1959, bertukar tarafnya menjadi badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan.
Pembinaan bahasa yang dikenal juga dengan nama perancangan korpus bahasa dilakukan dalam Pembinaan bahasa atau perancangan korpus bahasa dilakukan dalam bidang ejaan, peristilahan (kosa kata khusus), kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.
1. Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Ejaan: Usaha pengemaskinian sistem ejaan dilakukan untuk mengatasi masalah tidak selarasnya beberapa sistem ejaan Rumi yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Sistem ejaan Rumi bagi bahasa Melayu di Malaysia pada tahap awalnya disusun oleh R.J. Wilkinson pada tahun 1908. Kemudian pada tahun 1920-an tokoh ulung bahasa Melayu, iaitu Pendeta Za`ba (Zainal Abidin bin Ahmad) telah menyusun sistem ejaan Rumi yang digunakan demikian lama di Malaysia dalam sistem pendidikan, pentadbiran dan lain-lain, iaitu kira-kira setengah abad, sehinggalah ditetapkan ejaan Rumi baharu pada tahun 1972.
Dalam pada itu, sebelum penetapan sistem ejaan baharu itu, ada pula sistem ejaan Universiti Malaya, sistem ejaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan versi lain yang digunakan oleh pelbagai pihak lain. Sesuai pula dengan semangat penyatuan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia untuk memenuhi kerjasama dan persefahaman serantau, sistem ejaan Rumi baharu yang dirasmikan ialah sistem ejaan yang diselaraskan bersama antara Kerajaan Malaysia (melalui Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu) dengan Pemerintah Indonesia (melalui Pakersa, iaitu Panitia Kerja Sama Kebahasaan), melalui badan rasmi kerjasama kebahasaan antara negara, iaitu Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada tahun 1972.

No comments:

Post a Comment