Hari
ini saya berkesempatan lagi untuk menulis entri yang ke 22. situasi
yang ingin saya nukilkan pada hari ini ialah berkaitan dengan
penghormatan melalui panggilan dan gelaran. situasi ini biasa atau sudah
lali berlaku dalam kalangan pelajar universiti. situasi ini diceritakan
oleh teman sebilik saya. Dia menceritakan
kepada saya semasa dia pergi ke fakultinya untuk berjumpa dengan
pensyarah. Sewaktu di ruang legar fakulti, dia melihat seorang pelajar
seperti ingin mencari bilik pensyarah. Melihat daripada segi penampilan
dan cara pelajar tersebut, teman sebilik saya ini mengagak bahawa
pelajar itu pelajar semester pertama.Pada masa tersebut masuk seorang
pensyarah wanita yang berumur. Pelajar tadi bertanya kepada pensyarah
tersebut;
Pelajar X: Mak cik, boleh saya tanya kat mana bilik pensyarah X?
Mendengar persoalan yang dikeluarkan itu,
dia terus dimarahi oleh pensyarah tersebut kerana dianggap tidak
menghormatinya.
Cerita tersebut membuatkan saya terfikir
bahawa gelaran atau panggilan amat penting mengikut tempat dan keadaan
kita berada. Mungkin kita tidak pernah berfikir bahawa kesilapan
panggilan atau gelaran boleh menyebabkan orang itu marah atau terasa
hati. Menggunakan kata panggilan dan gelaran yang baik mengikut orang,
masa, tempat serta majlis amat digalakkan. Terdapat bermacam-macam
penggunaan kata panggilan mengikut taraf dan kedudukan seseorang.
Misalnya ada gelaran yang diwarisi, gelaran kurniaan, gelaran ikhtisas,
rujukan kehormat, gelaran keagamaan, gelaran olokan, gelaran keturunan
dan gelaran biasa. Ada juga gelaran disebabkan hubungan kekeluargaan,
persahabatan atau kehebatan karektor seseorang. Amatlah baik kalau kita
dapat menggunakan kata panggilan formal yang telah ditetapkan dengan
betul dan sesuai terutamanya kata gelaran diraja dan gelaran kurniaan,
rujukan kehormat dan gelaran ikhtisas. Penggunaan kata panggilan yang
betul menandakan kita orang yang amat menghormati orang lain terutamanya
orang yang lebih dewasa daripada kita. Perkara ini juga menandakan kita
tahu adab dan sopan-santun dalam pergaulan dengan masyarakat. Sifat ini
penting dimiliki kerana kalau kita tahu dan pandai menghormati orang,
orang akan menghormati kita. Hal ini sama seperti pepatah Melayu iaitu
“bahasa menunjukkan jiwa bangsa.” Jangan sampai menjadi menjadi seperti
kata orang “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa.”Oleh
itu cuba teliti dan fahami kemudian gunakan kata panggilan yang sesuai
mengikut orang, tempat dan keadaan yang sesuai.
No comments:
Post a Comment