Bahasa
Melayu berupaya menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai
keistimewaan tersendiri terutamanya kita diberi jolokan oleh masyarakat
dunia sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, ramah dan melayan tetamu
dengan sopan. Pantun Melayu ada mengungkapkan yang berbunyi;
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Demikianlah
indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya
nenek moyang kita menjaga adab dalam pergaulan terutamanya daripada
aspek pertuturan. Gurindam Melayu juga ada mengingatkan kita akan peri
pentingnya kita berswadaya mengekalkan kesantunan dalam berbahasa.
Antara lainnya berbunyi;
Tentu kamu tidak selamat,
Kalau kelakuan tidak hormat,
Tentu hidup tidak selamat.
Hal yang demikian juga digambarkan melalui sebahagian daripada seni kata lagu Allaryarham Tan Sri P.Ramlee iaitu;
Tiada kata secantik bahasa,
Nak kucurahkan rasa,
Tiada gambar seindah lukisan,
Nak kutunjukkan perasaan,
Tiada bahasa secantik puisi,
Nak kucurahkan isi hati.
Asas
keterampilan sesuatu bangsa dapat digambarkan melalui bahasa yang
dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat
melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak
turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat
pada hari ini, banyak Negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing
yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat Negara Perancis, German,
Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan
bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing,
maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia. Budi bahasa budaya kita,
inilah antara ungkapan yang menggambarkan peri pentingnya kita sebagai
penutur bahasa melayu tanpa mengambil kira latar belakang bangsa di
tanah air yang tercinta ini menjadi masyarakat yang dikenali sebagai
masyarakat yang beradab. Bahasa yang kita tuturkan berupaya
menggambarkan sahsiah kita. Kesantunan berbahasa yang kita perjuangkan
dalam kalangan masyarakat penuturnya telah mengangkat martabat
masyarakat di Negara kita sebagai masyarakat yang peramah, bersopan
santun, berbudi pekerti mulia dan berbudi bahasa. Kita kagumi oleh
masyarakat di seantero dunia kerana perpaduan jitu dalam kalangan
masyarakat yang berbilang kaum. Tanpa melihat kepada perbezaan bangsa
iaitu sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain lagi,
kita menggunakan bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu tanpa prejudis.
Oleh itu, gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan
masyarakat yang bertamadun, kaya dengan berbudi bahasa dan memiliki
minda kelas pertama.
No comments:
Post a Comment