" Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan "

Tuesday, 17 April 2012

ENTRI 27: Senyum

Senyum memang nampak mudah tapi sukar dilakukan oleh masyarakat kini seolah-olah terdapat emas di dalam mulut. Saya sebenarnya agak kecewa kerana terdapat sesetengah masyarakat kini tidak tahu yang sebenarnya senyum itu juga salah satu cara kita berbudi bahasa. Senyum itu juga merupakan satu sedekah yang paling mudah dan mampu menjalinkan hubungan yang lebih erat sesama masyarakat.



SENYUM.....tak perlu kata apa-apa. Alangkah indahnya jika masyarakat kini mengamalkan amalan senyum seperti di dalam gambar ini. Sekiranya seseorang berbuat kebaikan kepada kita, cukuplah sekadar senyuman yang dilemparkan dan itu sudah memadai sebagai ucapan terima kasih dan tanda dihargai. Masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal dengan ketinggian budi bahasa dan adab yang sopan kini nampaknya semakin pudar. Bersama-samalah kita memartabatkan budaya kesopanan kita agar tidak hilang ditelan waktu.


P/S: " jika anda boleh senyum pada kehidupan, kehidupan akan senyum pada anda "

Monday, 16 April 2012

ENTRI 26 : Bahasa Rempit

Hari ini saya terbaca sebuah blog yang menceritakan perihal penggunaan bahasa rempit. Sebenarnya juga, ini baru pertama kali saya mendengar bahasa rempit. Jadi, untuk menjelaskan kekeliruanku itu, saya membaca kisah yang ditulis oleh penulis blog tersebut. Mengikut tuan punya blog itu, bahasa rempit adalah seperti ejaan yang dieja berlainan daripada ejaan asal seperti ‘lew’, ‘kew’, ‘jew’, ‘niew’, ‘kitew’ dan banyak lagi. 
Dewasa kini, penggunaan bahasa sebegitu semakin merebak, terutamanya dalam kalangan remaja. Mereka berpendapat, penggunaan bahasa seperti itu menunjukkan diri mereka lebih hebat dan tidak terkongkong dengan bahasa Melayu. Sudah terang-terangan bahawa bahasa itu melambangkan identiti kita. Jika rosak bahasa yang kita gunakan, maka bangsa juga akan rosak. Janganlah kita mencemarkan bahasa Melayu kerana diri kita juga adalah orang Melayu yang penuh dengan budaya yang sopan dan berhemah. Masyarakat perlu tahu bahawa sopan dan berhemah bukan sahaja ditonjolkan oleh perbuatan, tetapi dapat ditonjolkan melalui percakapan dan penggunaan bahasa harian kita. Justeru, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.

Friday, 6 April 2012

ENTRI 25: Ada Apa Dengan Sistem Pesanan Ringkas


Bapa saudara Malik dan Malik saling berbalas mesej melalui telefon bimbit (sistem pesanan ringkas)

Bapa saudara  :  salam Malik.ko sihat?
Malik   :  chat pakcik.pakcik uat pe?
Bapa saudara  : ha?chat?ape tu?ko cakap ape ni Malik?pakcik x paham.

Antara bahasa singkatan yang sering saya dan mungkin anda-anda semua gunakan dalam sistem pesanan ringkas (SMS) :

Semua                 sume
Kalau                    klu
Buat                      wat/uat
Tengah                ng/ngah
Macam itu          camtu/cam 2
Apa                       ap/apew
Sahaja                  je/jer/jep
Lepas itu             pastu/pas 2
Macam mana    camne/camner

Tanpa kita sedari bahasa sistem pesanan ringkas sedikit demi sedikit telah mencemarkan bahasa Melayu kita sendiri. Kadangkala terdapat perkataan yang langsung tidak dapat difahami kerana penggunaan singkatan mungkin telah mengubah maksud atau menggunakan ejaan yang sukar untuk ditafsirkan.Seperti situasi di atas, tidak semua orang boleh memahami singkatan yang kita gunakan untuk sistem pesanan ringkas.Perkara ini boleh menimbulkan kekeliruan dan mungkin akan menimbulkan salah faham antara satu sama lain.Pada pendapat saya,penggunaan singkatan dalam SMS ini mempunyai baik dan buruknya.Salah satu kebaikannya kita dapat menaip mesej dengan pantas.Walau bagaimanapun,kita juga harus memikirkan penggunaan bahasa tersebut sama ada boleh difahami atau berlakunya kerosakan bahasa.Oleh yang demikian,terpulang kepada individu untuk menilai dan menggunakan bahasa yang bersesuaian untuk bahasa SMS ini.

Thursday, 5 April 2012

ENTRI 24: bahasa tempelak

Bahasa tempelak adalah bahasa yang menggunakan kata-kata cela yang keras dan pedas dengan tujuan untuk membangkitkan keburukan atau kesalahan orang tertentu. Menurut Za’ba, bahasa tempelak disifatkan sebagai hendak memulangkan paku buah keras kepada orang yang tidak mendengar nasihat setelah berlaku sesuatu yang tidak diingini akibat tidak mendengar nasihat yang diberikan pada awalnya. 

Contoh situasi: Apabila seorang adik ingin meminta duit belanja daripada abangnya selepas kehabisan duit akibat boros berbelanja. Abangnya mungkin akan menempelak dengan menggunakan ayat berikut;

“Itulah waktu duit masuk, kau tak beringat untuk menyimpan. Sekarang apa dah jadi? Duit sudah habis, apa yang kau hendak makan?”
Bahasa tempelak kadang-kadang digunakan oleh masyarakat untuk menyedarkan seseorang supaya tidak melakukan kesilapan. Sebagai manusia biasa, apabila ditegur dengan cara yang lemah lembut mereka kadang-kadang tidak mengambil peduli. Apabila ditegur dengan cara yang kasar seperti ini barulah mereka sedar dan mengambil peduli mengenainya.

Wednesday, 4 April 2012

ENTRI 23: keindahan syair

Anakku sayang salahmu nyata,
Dalam pelajaran bertutur kata,
Duduk menulis kalam di lata,
Kembali kepada sekalian pendeta.
Kerana pelajaran beratur pangkatnya,
Jangan dicampur yang bukan masanya,
Kerja demikian besar salahnya,
Faham tak lekat dalam keduanya.
Pendengaran pasti menjadi haru,
Yang ditulis pun tentu keliru,
Laksana menumbuk beralas nyiru,
Berasnya luluh antah menderu.
        
 Syair ialah jenis puisi melayu lama yang berangkap dan setiap rangkapnya mengandung 4 baris ayat yang kesemuanya membawa makna isi dan maksud.  Keempat-empat baris itu  pula berirama sama. Syair sering membawa makna isi yang berhubung dengan kias ibarat. Sindiran , nasihat, pengajaran, agama dan juga berasakan sejarah atau dongeng. saya terfikir bahawa betapa indahnya syair yang dihasilkan oleh orang Melayu. Setiap rangkap yang dihasilkan memberi makna yang mendalam untuk dihayati. Masih ramai yang tidak mengetahui syair juga mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Antara ciri-ciri syair adalah setiap rangkap ada empat baris dan berfungsi sebagai kesatuan idea tetapi rangkap itu tidak boleh berdiri sendiri. Dalam syair juga terdapat hentian sebentar dalam satu baris atau dikenali juga sebagai jeda. Jumlah suku kata yang terdapat dalam syair adalah 8 sehingga 12 suku kata dan jumlah perkataan adalah 3 hingga 5 perkataan. Pola akhir  dalam syair  aa;aa dan isi syair mengisahkan perihal percintaan, pengajaran, falsafah, keagamaan dan lain-lain.

Pada pendapat saya, bagi seseorang guru bahasa mereka perlu menguasai cara menyampaikan syair bagi membolehkan pelajar turut menguasai syair. Namun Kebanyakan guru pada hari ini tidak  lagi menyampaikan syair di hadapan pelajar. Oleh sebab itu, tidak ramai pelajar pada masa ini boleh menyampaikan syair dengan baik. Sebagai orang Melayu kita hendaklah mengetahui segala komponen sastera yang terdapat di dalam iaitu syair bagi membolehkan warisan kita berkekalan.

Tuesday, 3 April 2012

ENTRI 22: Penghormatan melalui panggilan dan gelaran

Hari ini saya berkesempatan lagi untuk menulis entri yang ke 22. situasi yang ingin saya nukilkan pada hari ini ialah berkaitan dengan penghormatan melalui panggilan dan gelaran. situasi ini biasa atau sudah lali berlaku dalam kalangan pelajar universiti. situasi ini diceritakan oleh teman sebilik saya. Dia menceritakan kepada saya semasa dia pergi ke fakultinya untuk berjumpa dengan pensyarah. Sewaktu di ruang legar fakulti, dia melihat seorang pelajar seperti ingin mencari bilik pensyarah. Melihat daripada segi penampilan dan cara pelajar tersebut, teman sebilik saya ini mengagak bahawa pelajar itu pelajar semester pertama.Pada masa tersebut masuk seorang pensyarah wanita yang berumur. Pelajar tadi bertanya kepada pensyarah tersebut;

Pelajar X: Mak cik, boleh saya tanya kat mana bilik pensyarah X?

Mendengar persoalan yang dikeluarkan itu, dia terus dimarahi oleh pensyarah tersebut kerana dianggap tidak menghormatinya.

Cerita tersebut membuatkan saya terfikir bahawa gelaran atau panggilan amat penting mengikut tempat dan keadaan kita berada. Mungkin kita tidak pernah berfikir bahawa kesilapan panggilan atau gelaran boleh menyebabkan orang itu marah atau terasa hati. Menggunakan kata panggilan dan gelaran yang baik mengikut orang, masa, tempat serta majlis amat digalakkan. Terdapat bermacam-macam penggunaan kata panggilan mengikut taraf dan kedudukan seseorang. Misalnya ada gelaran yang diwarisi, gelaran kurniaan, gelaran ikhtisas, rujukan kehormat, gelaran keagamaan, gelaran olokan, gelaran keturunan dan gelaran biasa. Ada juga gelaran disebabkan hubungan kekeluargaan, persahabatan atau kehebatan karektor seseorang. Amatlah baik kalau kita dapat menggunakan kata panggilan formal yang telah ditetapkan dengan betul dan sesuai terutamanya kata gelaran diraja dan gelaran kurniaan, rujukan kehormat dan gelaran ikhtisas. Penggunaan kata panggilan yang betul menandakan kita orang yang amat menghormati orang lain terutamanya orang yang lebih dewasa daripada kita. Perkara ini juga menandakan kita tahu adab dan sopan-santun dalam pergaulan dengan masyarakat. Sifat ini penting dimiliki kerana kalau kita tahu dan pandai menghormati orang, orang akan menghormati kita. Hal ini sama seperti pepatah Melayu iaitu “bahasa menunjukkan jiwa bangsa.” Jangan sampai menjadi menjadi seperti kata orang “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa.”Oleh itu cuba teliti dan fahami kemudian gunakan kata panggilan yang sesuai mengikut orang, tempat dan keadaan yang sesuai.




Monday, 2 April 2012

ENTRI 21: Definisi kata

Khazanah bahasa melayu memang tinggi nilainya. Jika diteliti sejarah kehidupan masyarakat melayu lama, kita akan dapati bahawa masyarakat melayu sebenarnya terlalu menjaga budi bahasa dan adab sopan mereka. Hal ini terbukti dengan wujudnya peribahasa yang mereka gunakan untuk memberi teguran, menyatakan hasrat hati dan melahirkan perasaan. melalui susunan kata yang disusun indah, mereka memuji, menyindir atau menegur dengan cara yang paling halus, tanpa menjatuhkan air muka individu tersebut secara berterus-terang tentang buruk baik seseorang. Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (1993) menggolongkan peribahasa kepada empat jenis iaitu simpulan bahasa, pepatah, perumpamaan dan bidalan. Berikut merupakan definisi kata:

BIDALAN

Bidalan ialah peribahasa yang terdiri daripada ungkapa-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana yang mempunyai makna selapis. walau bagaimanapun, kadang-kadang kata bidalan ini dipakai untuk menyatakan makna dua lapis. makna selapis yang dimaksudkan itu adalah apa sahaja yang dikatakan oleh ungkapan-ungkapan dalam bidalan, maka itulah maksudnya. oleh sebab itu, bidalan agak susah dan agak sukar untuk difahami maknanya, lebih-lebih lagi kerana ungkapan ini amat ringkas dan padat kata-katanya. Berikut merupakan contoh bidalan yang mempunyai makna selapis:
  •  Biar lambat asal selamat
  • sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
  • sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
Bidalan yang mempunyai makna dua lapis, ungkapannya atau patah-patah perkataan yang disusun bukan sekadar satu ayat atau ayat-ayat yng lengkap tetapi ianya boleh juga wujud dalam bentuk serangkap pantun dua kerat. Hail ini dapat dijelaskan dengan contoh yang berikut:
  •  Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya
PEPATAH

pepatah merupakan salah satu daripada jenis peribahasa. pepatah dilihat seakan-akan sama dengan bidlaan. sungguhpun demikian, pepatah mempunyai sifat rangkaian kata-kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah, tetapi mengandungi unsur pengajaran. setiap rangkai kata pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu eolah-olah seseorang itu sedang membuat perbilangan atau perkataan. pepatah ini biasanya berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat. sungguhpun demikian, pepatah juga boleh didefinisikan sebagai ungkapan-ungkapan yang dibentuk berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan. tujuannya adala untuk mengajar dan mendidik supaya berhati-hati dan berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. contoh pepatah adalah seperti berikut;
  • Ada air ada ikan
  • Ada angin, ada pokoknya
  • Acang-acang dalam negeri
maksud pepatah ada air ada ikan ialah sekiranya rajin berusaha, rezeki ada dimana-mana sahaja.

 KATA PUJANGGA

"Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan"
~Pujangga
"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat"
-Khalifah Abdul Malik bin Marwan
"Kalaulah anda tidak mampu untuk menggembirakan orang lain, janganlah pula anda menambah dukanya."
~Pujangga~
"Manusia tak akan tahu semua perkara, justeru tahu banyak perkara lebih baik dari tidak suka mengambil tahu walaupun satu perkara."
~Pujangga~
"Sekali anda terjatuh, jangan jatuh untuk berkali-kali"
~kata-kata Pujangga~
"Hari ini bila ia datang, jangan biarkan ia berlalu pergi. Esok kalau ia masih bertandang, jangan harap ia akan datang kembali."
Kata-kata Pujangga~
"Nikmat itu kadang-kadang tidak disedari, hanya apabila ia telah hilang barulah manusia benar-benar terasa."
kata-kata Pujangga~
"Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, tetapi tidak semua perpisahan akan menjanjikan akan adanya pertemuan semula sesudah perpisahan itu
HADIS MELAYU
AL-SUNAH dari segi bahasa bermaksud perjalanan, amalan, metod atau cara hidup. Ia juga bermaksud membuka atau merintis jalan sama ada yang baik atau yang buruk. Al-Sunah dari segi istilah ahli-ahli hadis ialah apa-apa yang terbit daripada Nabi Muhamad s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat, kejadian, akhlak dan sejarah sama ada sebelum diutuskan menjadi Rasul atau selepas diutuskan menjadi Rasul. Malangnya masyarakat Melayu sering disogokkan dengan perkataan atau ungkapan yang didakwa sebagai hadis sedangkan ia tidak mempunyai hujah yang kukuh. Ini dilabel sebagai ‘hadis Melayu’. Yang membimbangkan, ‘hadis Melayu’ ini seolah-olah diterima pakai dan menjadi pegangan agama oleh sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia.  ‘Hadis Melayu’ adalah perkataan yang bukan bersandar atau disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.. Ia adalah ungkapan mengenai sesuatu perkara yang kebanyakannya diambil daripada kitab-kitab Jawi lama ataupun banyak merujuk kepada buku terjemahan dalam bahasa Melayu tanpa merujuk kepada naskhah asal bahasa Arabnya. 
 Ada beberapa contoh ‘hadis Melayu’ seperti melarang anak-anak kecil yang belum baligh berada dalam saf yang sama dengan orang dewasa semasa bersolat. Alasannya kerana kanak-kanak itu masih najis kerana masih belum berkhatan. Ini bermakna takrifan najis itu amat berat sedangkan dalam Islam, kanak-kanak walaupun belum berkhatan adalah bersih jika pakaiannya bersih kecualilah jika kanak-kanak itu kencing atau buang air besar. Dari segi bahasa, najis ialah sesuatu yang kotor dan mengikut syarak, najis ialah kekotoran yang menegah daripada sahnya ibadat. 

PERBILANGAN

Penakek pisau seraut
Ambil galah batang lintubong
Seludang ambil ke nyiru
Setitis jadikan laut
Sekepal jadikan gunung
Alam terkembang jadikan guru.

 Ungkapan ini tidak seharusnya tinggal di dalam lipatan perbilangan adat. Ia harus dihayati dan dijadikan pegangan hidup seluruh masyarakat Melayu kerana di sebalik keindahan bahasa terdapat falsafah yang tinggi yang boleh dijadikan pedoman hidup dan motivasi di dalam mencapai kejayaan. Pemikiran terpenting yang dapat dirumuskan dari ungkapan ini ialah memotivasikan supaya terus memajukan diri dan menuntut ilmu. Ungkapan ini berpusat kepada seruan untuk berikhtiar dan berusaha juga berdaya kreatif kerana ( yang setitis jadikan laut/ yang sekepal jadikan gunung). Ia menyemaikan nilai positif dan optimis bahawa manusia boleh melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan hidupnya. kejayaan dapat dicapai melalui usaha yang berterusan.

Pandangan yang terpancar dari ungkapan ini adalah juga selaras dengan ajaran Islam untuk berusaha, bersabar dan bertawakal. Al- Quran membawa ajaran bahawa manusia mempunyai daya ikhtiar. Semangat inilah yang menjadi faktor yang membawa kemajuan kepada umat Islam seperti yang diperjelaskan oleh Syed Naguib Al-Attas ketika membicarakan peranan Islam di dalam pembangunan tamadun Melayu. Tamadun Melayu dibangunkan oleh semangat yang dibawa oleh al- Quran yang menganggap manusia sebagai “mempunyai daya ikhtiar”.

GURINDAM

menurut Za'ba,1962 di dalam karyanya Ilmu mengarang Melayu,perkataan gurindam itu berasal daripada bahasa Sanskrit menerusi bahasa Tamil. Ertinya biasa di fahamkan rangkap yang ng telah menjadi bidalan atau sebutan biasa pada orang ramai ataupun sesuatu pepatah berangkap yang disebutkan berpadanan dengan tempatnya. Selain itu menurutnya lagi, gurindam itu adalah padatmd an bernas. Ianya dihasilkan sebagai bahan nyanyian, jenaka, gurau senda dan sindiran. contoh gurindam adalah seperti berikut:
  
Tengah malam sudah terlampau
Dinihari belum lagi tampak
Budak-budak dua kali jaga
Orang muda pulang bertandang
Orang tua berkalih tidur
Embun jantan rintik-rintik
Berbunyi kuang jauh ke tengah
Sering lanting riang di rimba,
Melenguh lembu di padang
Sambut menguak kerbau di kandang
Berkokok mendung merak menggigal
Fajar sidik menyingsing naik
Kicak kicau bunyi murai
Taptibau melambung tinggi
Berkuku balam di ujung bendul
Terdenyut puyuh panjang bunyi
Puntung sejengkal tinggal sejari
Itulah alamat hari nak siang.

SELOKA
 
Menurut Harun Mat Piah, seloka berasal daripada kata 'sloka' dalam bahasa sanskrit. menurutnya, seloka mengandungi 16 suku kata dan berbentuk bebas. R.J Wilkinson menjelaskan seloka sebagai ucapan yang mengandungi sindiran dalam bentuk yang tidak tetap rimanya. Hooykas pula menjelaskan seloka dalam konteks masyarakat melayu ialah suatu puisi yang mengandungi empat baris dalam satu rangkap dengan empat jumlah perkataan dengan 8-11 suku kata. seloka mengandungi unsur sindiran yang bersifat jenaka mahupun serius dan menungkin juga mengandungi unsur-unsur lain seperti peraan asyik, berahi, khayal dan mimpi. seloka dan pantun yang memakai rima yang sama sepri syair. berikut merupakan contoh seloka:

"Candu dibungkus kain palas,
Makan dia mata bilas,
Mandi segan kerja malas,
Harta orang hendak digalas."

TAMSIL
  1. persamaan sebagai umpama (misal), misalan, contoh
  2. ajaran yang terkandung dalam sesuatu cerita, ibarat
Tamsil adalah misalan yang berkias serta mengandungi pengajaran dan teladan.
      Contoh: Bawa resmi padi, makin berisi makin menunduk.

PERIBAHASA

Peribahasa mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan realiti kehidupan dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. pengertian ini turut disokong oleh Mohd. Tajuddin Abdul Rahman iaitu peribahasa lahir daripada pengalaman dan pengamatan alam sekeliling yang teliti oleh masyarakat melayu. peribahasa sebagaimana warisan bahasa yang lain itu masih tetap relevan dengan zaman yang kian berubah ini. bentuk komunikasi moden yang ditandai oleh ciri keringkasan, ketepatan dan kepadatan tidak harus menjadi alasan untuk kita meninggalkan peribahasa dalam pengucapan kita. peribahasa juga mempunyai objektif yang tersendiri iaitu supaya orang yang mendengarnya tidak mudah rasa tersinggung dalam sesuatu komunikasi. peribahasa dapat menyembunyikan kata-kata kasar atau kesat seperti sindiriran. Hal ini biasanya dilahirkan dengan penggunaan kata-kata halus yang berkesan. berikut merupakan contoh peribahasa melayu:
  • Siapa makan cili, dialah yang merasa pedasnya
  • Air yang tenang jangan disangka tiada buaya
  • Lembu punya susu, sapi dapat nama
  • Melentur buluh biarla dari rebungnya

 SIMPULAN BAHASA

simpulan bahasa merupakan mutiara bahasa dan khazanah bahasa yang terdapat dalam bahasa melayu. simpulan bahasa disebut sebagai ungkapan iaitu rangkaian perkataan yang tetap bersimpul atau berbeku dengan susunan yang khas dan dipakai dengan erti yang berlainan daripada asal. sementara itu, Abdullah Hassan (1986), mendfinisikan simpulan bahasa sebagai ungkapan yang terjadi dalam rentetan yang sesuai dengan pola frasa bahasa melayu. pada umumnya, makna sesuatu simpulan bahasa berbeza sekai daripada makna perkataan yang membentuknya iaitu tidak ada perkaitan langsung antara rangkaian kata-kata itu dengan apa yang dirujuknya. Tegasnya, simpulan bahasa ditimbulkan untuk menyampaikan maksud secara tidak langsung. Berikut merupakan contoh simpulan bahasa:
  • ayam tambatan
  • kaki bangku
  • alas perut
  • puteri lilin
  • buah tangan
  • hati batu
  • rambang mata
IBARAT
  1. umpama, seperti, misal
    Ayat: agama itu ibarat suatu suluh bagi menunjukkan jalan yang lurus dan selamat;
  2. contoh yang baik yang terkandung dalam sesuatu cerita (perumpamaan dan lain-lain), pengajaran, teladan
    Ayat: ambillah ibarat daripada cerita itu; cerita ibarat cerita yang mengandungi pengajaran;

PERUMPAMAAN

perumpamaan ialah peribahasa yang mempunyai makna dua lapis. peribahasa seperti ini menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan kepada sesuatu perkara yang sebanding dengannya. ada kalanya juga, perumpamaan disebut sebagai bahasa kiasan atau kias ibarat. semua peruumpamaan berasal daripada bahasa kiasan. bahasa kiasan tersebut ialah untuk memberi contoh kepada sesuatu perkara yang lain dan maksudnya tersimpul dalam umpama yang dikiaskan itu. oleh itu, perumpamaan membawa makna dua lapis. peribahasa yang tidak mempunyai makna dua lapis tidak dinamai perumpamaan.