" Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan "

Thursday 3 May 2012

ENTRI 40: KATA PANGGILAN KELUARGA

Hari ini saya teringin untuk memperkata mengenai sesuatu yang mudah, tidak rumit dan sesuatu hal yang remeh-temeh yang sentiasa berlaku di sekeliling kita. Hal yang dimaksudkan tersebut ialah mengenai kata panggilan dalam sesebuah keluarga. Dalam keluarga, kita akan mempunyai nama panggilan tertentu, selain daripada nama kita yang sebenar seperti yang tertera di atas kad pengenalan. Kata panggilan ini juga berbeza susunannya mengikut negeri. Contoh kata panggilan adalah seperti berikut:
-along
-angah
-achik
-teh
-itam
-uda
-ucu
-andak
-alang
Tetapi, tidak semua kata panggilan itu digunakan dalam sesebuah keluarga. Contohnya, kawan saya menggunakan nama panggilan tersebut dalam keluarganya:
-along
-angah
-achik
-teh
-ucu
-uda
-alang
-adik
Bagi keluarga saya pula, kami lebih menekankan nama panggilan dalam keluarga kepada ahli keluarga perempuan. Contohnya:
kakak sulung: kak long
abang: abang jie
kakak: kak ngah
adik lelaki: adik bu, adik iwan
adik bongsu: adik
Manakala bagi keluarga ibu saudara saya pula, dia lebih menekankan nama panggilan dalam keluarga kepada ahli keluarga lelaki sahaja. Contohnya:
-abang long
-abang ngah
-abang chik
Tetapi bagi ahli keluarga perempuan sahaja, mereka hanya memanggil dengan nama biasa sahaja seperti yang tertera di atas kad pengenalan. 


p/s: Kata panggilan yang digunakan dalam sesebuah keluarga adalah berbeza mengikut negeri, adat dan budaya yang diamalkan. Tidak semua orang menggunakan kata panggilan yang sama.

Wednesday 2 May 2012

ENTRI 39: Rukun Negara - Kesopanan dan Kesusilaan






Hari ini saya ingin berkongsi satu cerita berkenaan ikrar Rukun Negara kita yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Kita sedia maklum bahawa ikrar tersebut mengajak kita supaya sentiasa bersopan-santun tidak kira di dalam perbuatan atau percakapan. Sebagai masyarakat Timur, kita tentulah sudah diasuh untuk sentiasa berlemah-lembut dan menjaga kesopanan kita agar tidak dipandang enteng oleh masyarakat lain. 
Berkenaan ikrar tersebut juga, saya mempunyai satu cerita berkenaan sesuatu yang pernah saya alami. Pertama, situasi ini berlaku di rumah saya. Rumah sewa yang saya diami ini dihuni juga oleh pelajar junior. Perbezaan umur di antara kami ini membuatkan mereka menjadi lebih hormat kepada saya dan kawan-kawan yang lain. Setiap tutur kata yang dikeluarkan sentiasa kelihatan sopan dan mereka membahasakan diri saya sebagai 'kakak' dan mereka tidak pernah meninggikan suara kepada saya. Malah, dalam pelbagai hal yang berkaitan rumah, kami sentiasa menjadi rujukan mereka dan ini dapat dilihat bahawa mereka lebih mengutamakan yang lebih dewasa. Perihal kesopanan ini jelas dilihat dalam diri mereka.
Tetapi berbeza pula dengan seorang rakan saya yang sebaya juga dengan saya. Apabila berlaku perselisihan faham, dia selalu menggunakan perkataan-perkataan yang kesat dan tidak sopan seolah-seolah perkataan tersebut sudah terbiasa meniti dibibirnya. Hal ini demikian ditambahkan lagi apabila dia suka mengepos sesuatu yang dia rasakan tidak di matanya di laman sosial. Hal ini menampakkan dirinya yang cepat melatah dan tidak rasional. Di laman sosialnya juga kita dapat lihat setiap bentuk dan jenis penulisannya yang agak teruk dan kasar dari segi bahasanya. Sepatutnya kita tidak boleh menjadikan laman sosial sebagai tempat untuk kita melepaskan amarah kita. Kita tentunya sudah sedia maklum bahawa laman sosial milik kita itu akan menjadi santapan pemilik-pemilik laman sosial yang lain. Jadi, fikir-fikirkanlah...

ENTRI 38: PENGGUNAAN FACEBOOK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA


Penggunaan Facebook dalam pengajaran dan pembelajaran adalah perkara baru dalam inovasi pendidikan di Malaysia. Sebagai pereka bentuk pendidikan di sekolah, guru boleh membina Facebook yang interaktif bagi membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan lebih efektif dan fleksibel. Perhubungan dan komunikasi berkembang dengan pesat sejak Internet diperkenalkan di seluruh dunia. Perkembangan ini juga menyebabkan peningkatan populariti Social Network Services (SNS) atau yang lebih dikenal dengan jaringan sosial. Jaringan sosial yang sangat popular pada masa ini ialah Facebook. Facebook pada saat ini telah menarik minat berbagai kalangan tenaga pengajar untuk dimanfaatkan dalam komunikasi berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran secara online.

 Fenomena ini menarik, kerana pada awalnya Facebook sebagai salah satu jaringan sosial yang bertujuan sebagai tempat saling berinteraksi antara seorang individu dengan individu lain kemudian dilihat oleh sebahagian para akademik sebagai peluang untuk dimanfaatkan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran online. Sebagai seorang guru, kita mestilah mempunyai pelbagai cara dan kreativiti untuk menarik minat pelajar untuk belajar. Salah satu caranya adalah dengan menggunakan "Facebook" dan Twitter". Melalui laman sosial ini, pelajar akan lebih berminat untuk mencubanya. Tetapi guru hendaklah menetapkan syarat terlebih dahulu dengan mewajibkan semua pelajar mempunyai akaun "Facebook" dan "Twitter" terlebih dahulu. Kemudian, guru mewajibkan semua pelajar untuk menyertai segala perbincangan yang akan dimuatnaikkan dalam aktiviti P&P dalam "Facebook" tersebut.  
 
Kebanyakan guru memilih saluran komunikasi Facebook kerana  melalui Facebook mudah untuk berkomunikasi dengan para pelajar. Guru boleh berkomunikasi dengan pelajar mereka pada bila-bila masa dan di mana saja mereka berada selagi terdapat kemudahan Internet. Faedah yang paling ketara ialah bagi pelajar yang sukar untuk memberi idea atau bercakap semasa di dalam kelas atau makmal, maka melalui Facebook mereka akan mudah terangsang atau teruja untuk memberi idea sekiranya ada dalam kalangan pelajar-pelajar lain yang memberi komen mengenai sesuatu isu yang telah dibangkitkan oleh guru. Secara tidak langsung guru akan tahu sebenarnya semua pelajar mereka boleh berkomunikasi dengan baik. Facebook juga sangat berfaedah bagi pelajar yang kurang faham semasa guru mengajar dalam kelas maka semasa diluar waktu kelas pelajar berkenaan boleh menggunakan saluran Facebook untuk meluahkan ketidakfahaman mereka dengan mendapat tindak balas dari pelajar lain dan guru berkenaan. Dengan adanya Facebook, komunikasi dapat dibuat dengan kos percuma atau rendah.

ENTRI 37:KELIRU

keliru?situasi ini bukanlah asing bagiku kerana ia sering berlaku dalam diriku sendiri. Keliru yang saya maksudkan di sini berkaitan dengan kekeliruan makna ataupun maksud sebenar yang ingin disampaikan ketika berlakunya komunikasi antara dua pihak atau lebih. Keliru dalam menanggapi maksud yang ingin disampaikan berlaku apabila satu pihak memberi makna yang salah terhadap perkara yang ingin disampaikan oleh pihak yang lain. Hal ini demikian terjadi mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya,  pihak yang berkomunikasi itu menggunakan bahasa pertuturan seharian yang agak berlainan. Faktor ini sedikit sebanyak akan memberi kesan dalam menanggapi maksud yang ingin disampaikan dalam sesebuah perbualan/komunikasi. Adalah penting bagi pihak yang ingin melakukan sesebuah perbualan/komunikasi menyelidiki dan memahami latar belakang orang yang ingin diajak untuk berbual/berkomunikasi agar perbualan yang berlaku tidak menjadi sia-sia. Sebagai contoh, seorang rakyat Malaysia yang fasih berbahasa Melayu versi Malaysia berbual dengan seorang rakyat Indonesia yang fasih berbahasa Melayu versi Indonesia. Walaupun kedua-duanya fasih berbahasa Melayu, namun bahasa Melayu yang digunakan oleh kedua-dua rakyat ini memiliki perbezaan, atau sesuai lagi jika dikatakan serupa tetapi berbeza. Mungkin sebahagian maksud dapat ditanggapi dengan betul, namun sebahagian lagi mungkin akan menimbulkan kekeliruan maksud antara kedua-dua rakyat ini. Kekeliruan yang timbul ini akan merosakkan kelancaran komunikasi yang dilaksanakan oleh mereka. Oleh itu, berhati-hatilah sebelum anda memulakan bicara dengan seseorang.